I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, June 26, 2008

PTPTN, Status Shariah & Kos Perkhidmatan

Terlalu ramai yang bertanya kepada saya tentang PTPTN. Saya cuba mengelak dari membuat sebarang ulasan di dalam web saya kerana mendapat info bahawa mereka sedang dalam proses islamisasi produk mereka. Bagaimanapun demi, bersikap adil kepada hukum dan ilmu, saya tiada pilihan kecuali perlu menguraikannya demi menjawab persoalan orang yang-orang yang bertanya dengan adil.
Jawapan mudah saya, apa yang dilakukan dengan 3 % sebagai kos perkhidmatan adalah riba. Bagaimanapun saya mendapat tahu bahawa,pihak PTPTN sedang berusaha untuk mengubah kepada sistem Islam cuma masih gagal mengimplementasikannya disebabkan oleh masalah sistem pengkomputeran sedia ada dan lain-lain masalah yang tidak diketahui. Saya difahamkan beberapa pakar Shariah dan bank Islam di Malaysia telah membentangkan beberapa cadangan struktur pembiayaan pelajaran baru berlandas aqad Ijarah, Bai' dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, banyak yang menemui jalan buntu dan sebahagiannya masih dalam proses penyemakan dan penilaian.
Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba. Tidak dinafikan bahawa para ulama sedunia telah meluluskan bahawa halal bagi sesuatu pinjaman yang dibuat atas asas Qardhul Hasan mengenakan sejumlah kos perkhidmatan kepada peminjam, bagaimanapun cara yang digunakan oleh PTPTN adalah tidak menepati fatwa tersebut.
Apa itu Qard
‘Qard' dari sudut definisinya bermaksud pertukaran atau perpindahan hak milik sesuatu aset atau wang dari pemilik asal kepada pihak lain dengan syarat, pihak lain itu berkewajiban memulangkan aset atau wang yang dipinjam tersebut atau yang sama nilainya pada kemudian hari. Dalam kata lainnya, ia adalah satu jenis pemberian hutang dalam bentuk sejumlah wang atau pinjaman barangan seperti meminjamkan kereta atau telefon bimbit kepada orang lain dengan syarat ianya dipulangkan semula pada kemudian hari. Pinjaman atau ‘Qard' dalam Islam adalah merupakan satu kontrak yang di asaskan atas dasar bantu membantu, sukarela (tabarru') dan belas kasihan kepada individu yang memerlukan (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/353). Atas sebab itu, Islam menyanjung tinggi amalan ini sehinggakan Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang melepaskan satu kesukaran saudaranya, maka Allah akan melepaskan pelbagai kesukarannya di akhirat.." (Riwayat Muslim) Sebuah lagi hadith menyebutkan kelebihan pinjaman tanpa faedah sebagaimana hadith berikut : Dari Anas ra berkata: " bersabda Rasulullah SAW, aku telah nampak pada malam aku diperjalankan (pada malam isra' mikraj), tertulis di pintu syurga : satu sedeqah dipergandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali, manakala ‘qard' atau pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak lapan belas kali ganda..." (Riwayat Ibn Majah, 2/812) Qard ( Pinjaman ) Tidak Boleh diJadikan Asas Perniagaan
Berdasarkan asas tersebut, kontrak pinjaman ini tidak sesekali boleh dijadikan sebagai alat untuk perniagaan atau meraih keuntungan di dalam Islam. Bagi memastikan objektif kebajikan dan bantuan dalam ‘Qard' tercapai, Islam meletakkan kewajiban , bagi setiap pinjaman wang (cth : RM 5000) mestilah dipulangkan pada kemudian hari dengan jumlah yang sama tanpa sebarang tambahan dan manfaat lain yang dipaksakan atau diipersetujui. Sekiranya terdapat sebarang tambahan (cth 3 % dari jumlah RM 5000 sebagai bunga atau manfaat lain), sepakat seluruh ulama menyebut ianya termasuk dalam kategori Riba an-Nasiah yang disepakati haramnya. (Al-Jami' fi Usul al-Riba, hlm 217). Isu kos perkhidmatan dalam pinjaman Sungguh ramai yang mengajukan pertanyaan kepada saya berkenaan hukum kos perkhidmatan dan pengurusan yang dikenakan bagi pinjaman yang diberikan. Terdapat beberapa pihak yang cuba mengenalkan produk pinjaman yang bersifat Islam serta diberi nama "Qardhul Hasan". Istilah ‘Qardhul Hasan' merujuk kepada pinjaman tanpa sebarang faedah, ertinya peminjam hanya perlu membayar wang modal yang dipinjamnya sahaja tanpa sebarang penambahan. Ia dikira sebagai salah satu bentuk ibadat yang amat digalakkan kerana sifatnya yang membantu melepaskan orang lain dari kesukaran dan keperluan mendesak tanpa mengambil sebarang peluang atas kesusahan orang lain dengan mengenakan ‘bunga', faedah atau riba. Walau bagaimanapun, implementasi ‘Qardul Hasan' ini kerap kali tersasar dari tujuan dan konsep asal pinjaman bersifat kebajikan hingga menjadi dwi tujuan, iaitu untuk bantuan dan meraih keuntungan disebalik nama kos perkhidmatan dan pengurusan agar ia menjadi ‘Halal' kononnya. Sebelum membincangkan soal kos perkhidmatan ini, terlebih dahulu saya ingin membawakan keputusan Persidangan ulama antarabangsa di bawah AAOIFI (http://www.aaoifi.com) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan (dari jumlah yang diberi pinjam) yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau ‘aqad' pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah di larang sama sekali dan ia adalah Riba. (Shariah Standard, AAOIFI, hlm 336) Adapun dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Shariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 M) berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ianya ADALAH KOS SEBENAR. Resolusi mereka juga menyebut, adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih dari kos sebenar, justeru para Ulama dari persidangan tadi mewasiatkan agar cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya. Selain itu, keputusan mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman. (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337) Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya.
Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). Ini adalah kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan system yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.
Inilah Riba yang berselindung di balik nama kos pengurusan dan ‘Qardul Hasan' namanya. Bayangkan, jumlah kos sebenar bagi sesuatu pinjaman yang diberikan kemungkinan hanya (sebagai contoh) sebanyak RM 500 bagi setiap transaksi komputer, peguam, cukai stamp dan lain-lain kos sebenar urusan pinjaman atas asas ‘Qardul Hasan'. Dalam keadaaan ini, sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat iaitu RM 500.
Bagaimanapun, apabila diletakkan satu jumlah peratusan seperti 2 % dan lainnya. Jumlah kos pengurusan tadi sudah pasti akan berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi, tatkala itu kos pengurusan tidak lagi menjadi kos pengurusan tetapi menjadi kos faedah dan riba yang dikenakan bagi setiap sen duit atau wang yang dipinjamkan. Akhirnya, mesej yang ingin saya sampaikan dari tulisan kali ini tidak lain adalah untuk memastikan nama ‘Qardul Hasan' dan fatwa oleh ulama sedunia berkenaan keharusan kos pengurusan atas pinjaman tidak di salahkan gunakan atau di salah fahami.
Yang Sudah Berlalu & Alternatif
Bagi yang sudah terlepas. Wallahu ‘alam, mungkin anda boleh di anggap dalam situasi 'hajiat' ( keperluan yang agak mendesak bagi mencapai fardhu ‘ain dan Kifayah iaitu belajar) jika sememangnya tiada bantuan kewangan lain yang boleh diperolehi di ketika anda memohon. Wallahu a'lam.
Allah SWT telah menyebut dgn jelas ertinya : " Allah tidak membebankan seseorang perkara yang tidak tidak dimampuinya" Bilamana seseorang tiada jalan lain lagi yang boleh di perolehi untuk mendapatkan bantuan kewangan pelajarannya, cuma PTPTN saja yang layak (pinjaman PTPTN pula pula dibuat secara Riba), atau bagi sesiapa yang telah terlanjur terlibat dengan Riba ini, tidak banyak yang boleh saya nasihatkan kecuali bertawbat kepada Allah atas ketidakmampuan mengelak itu dan berdoa agar anda tidak di bebankan dengan dosa ini dengan hati yang tidak redha.
Mungkin ia boleh diqiyaskan kepada kisah sahabat yang mengucapkan kalimah kufur kerana terpaksa tetapi hatinya sentiasa beriman kepada Allah dan tidak redha dengan kalimah yang terpaksa di ucapkan itu. Bagaimanapun sahabat nabi tadi diancam dengan bunuh, manakala peminjam PTPTN diancam dengan tertutup peluang belajar ?. Adakah sama ?. Tidak juga, kerana belajar ilmu boleh didapati dalam pelbagai cara termasuk yang percuma seperti di web saya ini. Ringkasnya, memang sukar sebenarnya untuk mangangkat tangan mengatakan "saya dharurat ustaz" atau 'saya amat terdesak' sehingga terlibat. Lebih membimbangkan ada ura-ura untuk mewajibkan ibu bapa menjadi penjamin kepada pinjaman PTPTN si anak. Ini bermakna ibu bapa juga akan termasuk dalam kumpulan yang terlibat dengan riba dengan jaminannya.
Apapun, jika terlibat juga ia bukanlah dosa 100 % terhasil dari diri anda, tetapi pengurusan berwajib yang lebih besar tanggungannya di sisi Allah SWT. Bagaimanapun, inisiatif pengurusan PTPTN untuk mengubah cara pemberian bantuan yang selari dengan kehendak Islam dan bertepatan dengan agenda kerajaan "ISLAM HADARI" , boleh di puji, ia pasti dilihat oleh ALLAH swt sebagai satu azam kepada kebaikan. Cuma kita mengharapkan ia lebih dari azam lalu menjadi realiti. wallahu alam.
Saya amat memahami bahawa biasiswa dan zakat pula mungkin amat sukar untuk diperolehi. Apapun, sepatutnya di usahakan terlebih bantuan lain dahulu sebelum mengangkat tangan 'mengalah' dan mengambil yang riba. Bagi saya, adalah lebih baik bagi pelajar yang belajar di dalam Malaysia untuk membuat pinjaman tanpa faedah dengan ibu bapa atau adik beradiknya ( jika mereka orang mampu) dari membuat pinjaman PTPTN yang mengenakan % tertentu sebagaia 'kos perkhidmatan' kecuali jika anda belajar di luar negara yang kosnya terlalu tinggi.
Selain itu, ada beberapa buah bank Islam ada menawarkan pembiayaan pendidikan yang distruktur secara bai Inah. Adalah lebih baik untuk mendapatkan perkhidmatan ini dari terjebak dalam RIba walaupun mungkin kosnya lebih tinggi.
Saya juga ingin mencadangkan agar anda membuat surat memohon agar dihapuskan pembayaran 3 % itu kepada pihak PTPTN, sekiranya mereka luluskan. Alhamadulillah, sekiranya mereka tidak meluluskan, maka tanggung jawab yang sudah terlepas menggunakannya telah dikira terlepas.
Bagaimanapun, jika anda gagal mendapatkan rebate dari PTPTN, maka hutang tersebut masih wajib dibayar penuh menurut undang-undang Malaysia. Saya hanya mampu mencadangkan agar rayuan pelepasan dibuat sahaja. Lebih elok jika rayuan dibuat sambil menampilkan prestasi cemerlang di universiti, mungkin ada peluang untuk mendapat pelepasan sebagaimana jenis 'pinjaman boleh ubah', yang mana kos tamabahan itu boleh dihapuskan apabila pelajar mendapat skor tinggi.
Jika benar PTPTN ada menyediakan ruang bagi mereka yang skor untuk dihapuskan kso perkhidmatan riba itu. maka menajdi WAJIB bagi pelajar untuk meraih skor itu, tidak bersungguh bagi mendapatkannya akan dikira sebagai berdosa. Kerana ada peluang untuk elak , tetapi bermalasan untuk mencapainya. Selamat belajar dalam berkat Allah......
Sekian

UZAR
http://www.zaharuddin.net/

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum, ya sheikh,
Pasal isu PTPTN, satu persoalan, ada lagi tak badan lain yang menyediakan bantuan pada semua pelajar tanpa tapisan seperti PTPTN bekalkan? Andai ada badan lain yang boleh gantikan PTPTN itu lebih baik..

hambaAllah86 said...

wsalam, ya muallim..
stkt n blm ada badan yang menyediakan bantuan tanpa tapisan tetapi anda blh mengunakan pinjaman pendidikan secara islam seperti di apa yang ditawarkan oleh islam..selain itu, ada badan lain yang juga menawarkan pinjaman tanpa riba seperti FAMA(father n mother)...

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template