Setiausaha Politik Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia
Abad ke 21 menyaksikan pelbagai cabaran yang kental pada Islam.Tidak sudah dengan penghinaan terhadap Rasulullah oleh para musuh Islam, dunia dikejutkan pula dengan keberanian para musuh Islam memijak kemuliaan Al-Quran. Tertanggalnya dua pedoman utama dari majoriti umat Islam di dunia ini, makin memburukkan keadaan.
Rentetan ini, dapat kita simpulkan bahawa perlunya ada satu generasi kembali bersungguh mendaulatkan Islam sebagai cita-cita utama.Umat Islam diharapkan agar tidak lagi hanya banyak berbicara dan mengkritik semata, tapi perlulah mula bangkit merancang dan terus bekerja dan bekerja sehingga sampai kemenangan pada Islam itu sendiri.
Jika direnungi kejayaan umat terdahulu, dapat kita insafi bersama, betapa kejiddiyahan mereka dalam mempertahankan agama suci ini tiada tolok bandingannya.Apakah resepi kejayaan mereka adalah mengutamakan mencari kelemahan gerakan sendiri semata berbanding bergerak terus ke hadapan menghadapi musuh?
Bersama meneliti dan menghayati sirah betapa pejuang-pejuang terdahulu tidak punya masa untuk berbalah sesama mereka kerana matlamat menegakkan nur Islam di muka bumi sentiasa menjadi topik meniti di bibir.Singkaplah pujian yang diberikan oleh Ibn Shaddad pada peribadi mujahid ulung, Salahuddin Al-Ayyubi – Kerana terbakar dengan semangat bagi memerangi tentera Salib, jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Tariq bin Ziyad sanggup membakar kapal-kapal perang untuk membakar semangat juang para ansorullah. Panglima Islam Jaafar bin Abi Talib sanggup mengorbankan diri sehingga ditetak dua badannya, dicincang lumat mayatnya semata-mata mempertahankan panji Islam yang menjadi inspirasi tentera Islam dalam perang Muktah.
Kini, timbul persoalan, apakah ruh-ruh perjuangan itu sudah semakin pudar rasanya di kalangan umat Islam sekarang? Di manakah semangat Sultan Al-Fateh dalam jiwa-jiwa belia Islam sekarang?
Umat terdahulu, bukan berperang berbekalkan semangat kosong.Ilmu dikutip, thaqofah dimantapkan, segala strategi dan perancangan sesudah perang turut diperhalusi sebagai persediaan masa depan. Paling utama, mereka mengasah senjata ketaqwaan dan keimanan yang terpasak satu pada yang Maha Esa berpandukan ajaran Al-Quran dan sunnah.Bagi mereka, umat Islam harus dipandang paling mulia antara semua.Matlamat perjuangan sama ada syahid atau menang.
Justifikasi, sebagai pewaris kemuliaan Islam, umat Islam terutama lagi generasi muda sekarang haruslah menggandakan lagi usaha dan persediaan selari dengan perkembangan semasa demi Islam.Kita tahu, ekonomi, bidang-bidang profesional dan media yang utama masih terlalu jauh kita ketinggalan, namun sebagai golongan muda, kita harus optimis.Kita masih punya tenaga yang banyak dan kudrat kita masih boleh dimanipulasi untuk membuat persediaan jangkamasa panjang.Semua perkara ini mampu kita realisasikan asalkan mita mahu membuat perubahan itu dan mula berubah.
Zaman sekarang adalah zaman merebut setiap peluang.Kita akan tewas seandainya kita masih bergerak seperti takuk lama.Setiap individu kita harus pantas bergerak selari masa dan bijak bermain peluang yang timbul untuk Islam.Tetapkan matlamat kita semuanya demi Islam.
Kita tidak boleh terlalu terikat seperti robot dalam bergerak.Pendakwah muda harus bijak dan bergerak seperti air di terusan yang sentiasa mengalir dan bukannya bertakung,membusuk di sesuatu tempat.Dunia kini perlukan jiwa muda yang terbakar dan bijak serta bersungguh dalam bergerak kerja.
Oleh itu, GAMIS menyeru, pada keseluruhan mahasiswa Islam amnya dan ahli GAMIS khasnya, bersamalah kita semua menanam ruh-ruh peerjuangan itu. Jadikan walau di mana kita berada, kita mampu menghidupkan cahaya Islam di situ.Kadang kala, seandainya tiada arahan dari mana-mana pihak untuk membuat kerja-kerja Islam, jadikan diri anda perintis dan pencetus pada permulaan gelombang tersebut.Jangan biarkan di mana-mana tempat kita berpijak, malap dengan sinar agama Allah ini.Tetapkan niat, bekerja untuk Islam semata.Bukanlah matlamat kerja hanya terfokus dan terikat pada mana-mana persatuan, atau pertubuhan mahupun parti semata.Malah ahli GAMIS juga, mesti bekerja untuk ISLAM dan bukan untuk GAMIS.
Kerja untuk Islam terlalu banyak dan tidak terhad pada program rasmi semata.Malah, menawan hati keluarga dan masyarakat melalui kenduri santai contohnya, juga adalah kerja ISLAM.Belajar malah bekerja sehingga menkagumkan orang lain terutama yang bukan Islam jug,a mampu mencerminkan bahawa kita sudah mengizzahkan Islam itu sendiri.Jadikanlah kita sebagai anak-anak panah muda yang sudah bersedia bermatian mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi mulai hari ini.Gunalah setiap ruang dan peluang yang tiba.Bekerjalah dan terus bekerja demi Islam.Jadilah penggerak, bukan penonton.Jadilah pencetus, bukan pengomen yang boleh membunuh.Jadilah pendokong aktif dan bukan pejuang yang pasif.Kata Allah, berbuatlah, Allah dan Rasulullah akan memerhati, dan orang-orang beriman menjadi saksi.
No comments:
Post a Comment